Isnin, 31 Ogos 2009

Secebis cerita mengenai kemerdekaan MALAYSIA

Peristiwa Falak - Detik Kemerdekaan Malaysia

SEBELUM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim (gambar di atas), Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak.

Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasysyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Mokhtar Petah, 1997).
Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab: "am khir atana" (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO (United Malays National Organization) dari memberontak dan merampas kuasa jika kerajaan British tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini. Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki itu, Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962.

Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan pada 20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Menarik untuk diperkatakan mengenai tarikh kemerdekaan yang dipilih oleh Syeikh Abdullah Fahim. Menurut seorang guru dari Sekolah Agama Daeratul Ma'arif Al Wataniah (DMW) di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bahawa sejenis alat digelar astrolabe kepunyaan Syeikh Abdullah Fahim ada disimpan di bilik pengetua sekolah tersebut dan dikatakan bahawa Syeikh Abdullah Fahim biasa menggunakan alat astrolabe ini bagi menghitung pergerakan cakerawala terutamanya buruj-buruj bintang.

Mengambil kira hakikat ini atas ilham pemilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh Syeikh Abdullah Fahim, tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 31 Ogos 1957 ini dipilih, istimewanya mungkin dari kedudukan buruj-buruj bintang yang boleh kelihatan pada waktu maghrib sempena detik kemerdekaan negara 1957.

Pada malam kemerdekaan didapati empat buah buruj sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari pada jam 7.19 malam, 30 Ogos 1957 bersamaan 4 Safar 1377 H, malam Sabtu. Buruj-buruj tersebut ialah Buruj Scorpius (Kala Jengking), Buruj Libra (Dacing), Buruj Virgo (Anak Dara) dan Buruj Kapal Layar (The Sail). Kelihatan juga dua buah planet yang sangat terang pada ketika itu iaitu Musytari (kecerahan 100 peratus) dan Zuhrah atau bintang Kejora dengan kecerahan 79 peratus berhampiran Buruj Kapal Layar. Bulan pula tepat berada di dalam Buruj Libra.

Apabila dua simulasi kedudukan malam yang berlainan bagi tarikh pilihan Syeikh Abdullah Fahim diperbandingkan iaitu bagi malam 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962 (29 Rabi'ul Awal 1382), adalah didapati jasad cakerawala berkedudukan serupa terutamanya bintang Kejora yang terang di ufuk barat pada waktu itu.

Apa yang lebih menarik lagi ialah Buruj Libra (Dacing) dan Buruj Kapal Layar yang kelihatan dengan jelas di angkasa. Tidak diketahui sama ada pemilihan dua tarikh tersebut oleh Syeikh Abdullah Fahim mempunyai kaitan rapat dengan politik Malaysia pada waktu itu atau di masa kini di mana Buruj Dacing tampak sangat sinonim dengan lambang Barisan Nasional manakala Buruj Kapal Layar berbetulan pula dengan lambang Parti Perikatan yang menang majoriti dalam pilihan raya 1955 bagi mencapai hasrat kemerdekaan dalam tempoh empat tahun (1959), namun kemerdekaan telah berjaya dicapai lebih awal lagi iaitu dalam masa dua tahun sahaja.

Pada 16 September 1963; Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah (dikenali dengan Borneo Utara) telah bersetuju untuk membentuk negara Malaysia. Brunei, yang turut menyatakan hasrat untuk menyertai persekutuan Malaysia telah membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir. Namun, tidak ramai di antara kita yang menyedari rahsia di sebaliknya apabila permasyhuran Malaysia pada hari itu telah dimeterai oleh peristiwa falak seumpama "mata rantai yang mengikat antara keduanya". Banda raya Kuala Lumpur turut diisytiharkan sebagai ibu kota negara Malaysia dengan lokasinya yang berada di pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang

Walaupun peristiwa falak mempunyai beberapa hubungan yang berkait dengan sejarah negara, ini sebenarnya adalah suatu yang lumrah dan bukannya suatu kuasa kosmik yang luar biasa. Maksud di sini ialah peristiwa falak menjadi titik-tolak bagi meraikan hari yang bersejarah secara kesederhanaan di mana kita boleh jadikannya sebagai satu iktibar bahawa perjalanan alam ini telah diatur sedemikian rupa oleh Allah Ta'ala dan mempunyai erti yang amat besar bagi orang-orang yang mahu merenunginya. Dalam disiplin ukur tanah, sesuatu ukuran lot sempadan tanah adalah diukur dan diikat dengan posisi kedudukan matahari bagi menentukan arah utara, selatan, timur dan barat bahkan juga arah kiblat. Ini secara langsung menunjukkan bahawa peristiwa falak tidak sahaja `mengikat' sesuatu hari yang diraikan itu, bahkan ia turut sama mengikat kedudukan kita di atas muka bumi ini atau dalam erti kata lain ialah "darinya juga kita akan dikembalikan". Kita tidak dapat lari ke mana-mana di alam ini kerana kita sebenarnya telah diikat rapi oleh masa dan ruang. Peristiwa falak adalah masa dan ruang itu.

Tugu Negara simbol perjuangan kemerdekaan Malaysia

Merdeka !  dan al fatihah kepada para pejuang negara yang berjuang mempertahankan negara dari ancaman musuh yang mahu menggugat kedamaian dan keharmonian negara Islam ulung di dunia ini.
Kesenangan yang ada adalah hasil keperitan generasi datuk nenek kita.
Orang Malaysia tidak sama dengan orang Melayu yang Islam dan Melayu tiada agama atau menggunakan agama untuk pilihanraya  !!!

tambahan :
” Yang penting, patung di atas hanya tugu peringatan bukan patung berhala seperti sesetengah golongan sempit akal fikirannya yang mengharamkan benda seperti di atas tanpa nas yang sah di sisi agama.”


MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !
Sumber : Utusan Malaysia, 31 Ogos 2004

Tiada ulasan: